Blognovela : Mami Rokiah Bahagian 1

oleh MSK @ perakexpress.com

dsc00746

Semalam hari Raya kedua. Dah tak ada orang datang kerumah untuk berhari raya. Aku ambil kesempatan untuk berjalan-jalan di kota Georgetown…sambil mengimbas kembali kenangan-kenangan silam.

Aku park kereta depan Hotel Federal, sepanjang Penang Road. Baru keluar kereta, apek lanca sudah menegur.” Bos!! Baru mari punya…Indon ada..Sabah mali punya pun ada. Cun punya woooo!! “

Aku senyum saja la.

Dulu…Penang Road tempat cari ganja. Masa tu, satu cut baru dua ringgit. Saiz satu cut pun dekat besar jari telunjuk.Sekali beli, boleh buat kenduri satu kampong. Sekarang…silap-silap beli kat SB.

Hot Lips dah tak ada. Dulu tempat Alleycats buat gig sebelum depa popular. Masa tu…Alleycats nyanyi lagu-lagu Deep Purple, Bad Company, tapi bila depa mula nyanyi lagu jiwang…aku dah tak minat.

Kawasan sekitar Upper Penang Road, dekat Wisma Boon Siew, semuanya sudah bertukar menjadi kawasan hiburan waktu malam. Bar, Disko, Night Club. Macam Patpong di Bangkok. Malah ada satu pub yang diberi nama Soi 11. Mengingatkan aku pada Soi Sukhumvit , kawasan red light di Bangkok.
Sebaik melintasi Look Bistro yang tutup, berdekatan dengan Hotel E&O, aku nampak seorang perempuan sedang menyapu sampah dihadapan restoran tersebut. Pakai seluar takat lutut, baju spaghetti string. Rambut blonde kena hydrogen peroxide. Masa dia tunduk menyapu, boleh tengok wayang free. Aku tengok dia, dia tengok aku. Rasa macam kenal.

“Fendi?” dia tanya aku.

Alamak…kat tempat macam ni pun ada orang kenal aku?

“Aha…” aku jawab. Lama aku perati dia..rasa macam kenal, tapi dah tak ingat. Lagi pun, dah semakin kurang yang menegur aku menggunakan nama Fendi. Makin banyak yang menegur aku dengan nama Mat.

“Rokiah la!!” dia mengingatkan aku sambil gelak. “Awat? Tua sangat dah ka?” dia tanya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku sambut tangan dia. Tangan Mak Nyah lagi lembut.

“Mai duduk dulu..kita beraya.” Selamba saja dia pelawa aku macam la kedai tu dia punya. “Hang nak minum apa?”

“Kopi O ka…kalau tak dak sirap pun tak pa.” aku bagi tau.

“Pirrrah!! Muka hang minum kopi O?” dia perli aku balik.”Tunggu sat, aku buat kat hang Lemon Grass with soda.”

“Ptuih!!! Ada ka hari raya hang buat ayaq serai.”

Rokiah buat tak tau…dia terus masuk kedalam restoran. Tak lama kemudian, dia bawa gelas tengkok panjang. Sekali tengok berbuih macam 100Plus, tapi warna kuning. “Ayaq apa ni Kiah?” aku tanya.

“Woi!! Dulu hang langgah apa saja..la ni pulak hang sibuk tanya. Hang dah tobat ka?” Kiah tanya aku.

Aku try sikit…sedap. Kiah punya gelak..kah..kah..kah. “Ayaq serai la cek ooi. Campur sparkling apple wine, masuk sikit ice-cream soda. Tumbuk serai sikit, campoq semua.”

“hang buat apa la ni?” dia tanya aku.

“Aku tak dak kerja.” Aku jawab. “Aku buat kerja yang tak dapat duit.”

“Anak bini hang makan apa?”

“Tengok la apa yang dapat. Rezeki Tuhan bagi. Tapi takat ni…Alhamdulillah.”

Aku kenai Rokiah masa dia mula-mula jadi juruteknik makmal, baru lepas ITM. Dia jadi microbiologist, aku kat R&D. Tapi tak lama dia kerja, sebab dia kawin dengan pembantu khas EXCO Pulau Pinang masa tu…sekitar tahun 1984. Laki dia Pemuda Umno masa tu…jadi pembantu khas kepada EXCO Gerakan. Masa tu, kalau orang Melayu Umno jadi pembantu EXCO Cina Gerakan tak pa. Tapi sekarang, kalau ada Melayu PKR jadi pembantu EXCO Cina DAP, depa kata dah juai maruah.

Laki Rokiah bernama Roslan (bukan nama sebenar). Sepanjang jadi Pembantu Khas EXCO, dia buat duit. Kontrak sana sini..dia kutip komisyen. Gadai tanah Tanjong Tokong pun tak pa…janji komisyen dia tetap ada.

Depa jadi kaya…boleh beli kondo kat Mar Vista, Tanjung Bungah. Hidup macam orang putih. Tapi tak lama…sebab orang politik mana ada duduk rumah. Selalu outstation. Kemudian bukak cawangan, tambah ahli.

Aku tulis pasai Mami Rokiah ini…pasai perjalanan kehidupan dia menjadi inspirasi pada aku. Selama ini aku berceramah tentang PERUBAHAN. Dalam kempen pun, semua orang bercakap tentang perubahan.

Orang poliitik Pakatan Rakyat juga bercakap tentang perubahan, reformasi, Islah, change…macam-macam istilah digunakan, tetapi apa dia perubahan?

Bila aku sembang dengan Mami Rokiah, aku mati akai. Sebab dia bercakap melalui pengalaman. Aku bercakap tentang perjuangan. Perubahan, bagi aku masih lagi konsep…tetapi bagi Mami Rokiah, dia sudah melakukannya. Dia sudah merasa pahit getir perubahan. Dia sudah boleh bercakap tentang reality perubahan. Dia sudah boleh bercakap tentang halangan, dugaan dan rintangan dalam proses perubahan.

Mami Rokiah menjadi bos sebuah restoran ditengah-tengah kawasan merah Penang Road. Betui…dia jual beer, arak, shandy…dia tak peduli halal haram. Tapi itu antara dia dengan Tuhan. Dia tak tipu orang. Dia tak penaya orang. Dia tak ambil harta anak yatim. Dia tak ambil duit orang miskin. Dan yang paling penting…dia tak hipokrit.

Sebelum tahun 1990, Mami Rokiah hidup senang. Dia cuma duduk rumah…tunggu laki balik. Bagi dia, laki dia adalah segalanya. Hidupnya bergantung kepada suami. Dan dia merasakan, kalau tak ada suaminya, dia tak tau macam mana nak hidup. Dia tak peduli laki dia buat apa. Nak ambil rasuah ka, nak tipu orang ka..mampuih pi. Janji hidup dia senang.

Mula mula…memang la laki dia selalu balik. Tapi bila dah sibuk, mula la balik dua tiga hari sekali. Lama-lama seminggu sekali. Tu pun hari Khamis. Jumaat siang cabut lagi. Kemudian dalam sebulan…kot-kot la suami dia balik sekali dua.

“Dua bulan…tiga bulan…aku boleh tahan la. Tapi kalau dah sampai setahun lagu tu…aku pun tak tahan. Laki aku dah lupa rukun kahwin. Masa mula-mula kahwin, dia hapai rukun kawin..tapi bila dah senang…dia lupa.” Kata Mami Rokiah.

“Rukun kawin apa dia?” aku tanya. Sebab yang aku tau cuma rukun nikah.

“Yang tu pun hang tak tau ka? Rukun kawin ada dua. Beras dan keras.” Jawab Mami Rokiah. Selamba saja. “Hang pikiaq sendiri la Mat. Bila laki aku buat macam tu…aku nak buat apa? Sebelum tu, hidup aku bergantung pada dia. Dan susah macam mana pun, aku terpaksa terima. Kalau dia tak dak..aku lagi teruk!. Dia balik sekali sebulan ka, aku nak buat apa? Tahan saja la.”

Ceh!! Aku naik segan bersembang dengan Mami Rokiah…tapi dia selamba saja. Perjalanan hidup mengajar dia menjadi macam tu. Lepas ni…tak tau la apa lagi yang keluaq dari mulut dia.

Apa yang dialami oleh Mami Rokiah, berlaku kepada kebanyakan orang Melayu. Masa mula-mula Merdeka, orang Melayu dijanjikan dengan pelbagai harapan. Orang Melayu begitu bahagia bila ‘mengahwini’ Umno. Pemimpin datang mengambil berat…kenduri kendara, kematian..pemimpin Umno sentiasa ada bersama rakyat.

Tapi lama kelamaan, pemimpin Umno dah jadi macam laki Mami Rokiah. Sibuk mengumpul harta, bukak cawangan…orang Melayu hanya menjadi Mami Rokiah. Dilawati dan diziarahi hanya apabila mereka memerlukan. Datang lima tahun sekali untuk menagih undi, kemudian dihulurkan sedikit beras, kain batik dan kain pelikat.

Dan orang Melayu masih lagi macam Mami Rokiah. Takut untuk bertindak walaupun hanya hidup dengan harapan yang tidak ditunaikan. Ketika pemimpin Umno macam laki Mami Rokiah, orang Melayu masih lagi mengharapkan Umno. Kalau tak ada Umno, lagi teruk!! Kalau tak ada Umno, mati la aku!!

“Apa yang membuatkan hang berubah? Ataupun…apa yang membuatkan hang sedaq, yang hang boleh hidup sendiri?” aku tanya Mami Rokiah.

“Hari nak hujan. Jom masuk dalam!” Mami Rokiah mengajak aku masuk kedalam restoran yang ditutup.

Krrraaangggg!! Dia mengangkat pintu besi …dan aku masuk kedalam. Cuma kami dua orang dalam tu. Kalau mai Pegawai Ugama…naya aku.

“Laki hang tak mai ka?” aku tanya kat Mami Rokiah.

“Mampuih pi la kat dia. Entah hidup..entah dah mati. Dah dekat dua puluh tahun dia tak mai tengok aku. Gantung tak bertali. La ni aku single. Apa yang aku nak buat…tu aku punya suka.” Jawab Mami Rokiah.

Fuh!! Degup…degup…aku telan ayaq lioq.

Bersambung……..

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Blognovela : Mami Rokiah Bahagian 1"

Related Posts with Thumbnails
Daisypath Anniversary tickers