Disebalik ungkapan "tak ada apa-apa."
Beberapa bulan yang lalu hati saya tiba-tiba rasa berdebar, cemas, bimbang dan
runsing. Perasaan itu datang bukan sekali dua malah terlalu kerap.Ketika memandu
pun saya turut diserang rasa yang demikian. Saya cuba dapatkan nasihat doktor.
Doktor kata takde apa-apa. Hairan juga..! Sewaktu balik ke kampung, saya bertemu
dengan guru mengaji Quran. Saya ceritakan perkara yang saya alami.
"Mungkin ada buat silap dengan mak kot. Cuba check,"katanya. Saya
tersandar seketika. Insiden apakah yang boleh membuatkan saya diuji
sebegini rupa? Puas saya memikirkannya. Seingat saya, walau ke mana
saya hendak pergi dan apa yang saya nak buat, tak pernah saya lupa
memberitahu mak. Meminta maaf memang saya jadikan kebiasaan dalam
diri. Saya balik ke rumah mak, lalu saya ceritakan peristiwa yang
saya alami itu. Saya pohon padanya, "Mama, Sabri nak tanya dari hati ke hati,
adakah Sabri pernah buat dosa dengan mama yang mama tak ampunkan?" "Tak ada
apa-apa. Mama restu dengan apa yang Sabri buat sekarang ini."Emak menjawab. Saya
masih tak puas hati. Esoknya saya tanya lagi. Mama masih menjawab,"Tak ada
apa-apa". Saya masih tidak puas hati lagi. Malam itu saya munajat dengan Tuhan
minta Allah tunjukkan jalan kebenaran..
Hari ketiganya dalam keadaan berteleku, saya mengadap mama sekali lagi.
Mama ketika itu sedang berehat di sofa. Saya pandang wajah mama, saya
genggam erat tangannya erat-erat, "Mama, Sabri pohon sekali
lagi, tolonglah mama luahkan apa yang terbuku di hati mama. Sabri
tahu sabri ada buat salah, tapi mama tak nak bagitau." Airmata
sudah membasahi pipi.. "Tak ada apa-apa" Tingkah mama
semula. Dalam keluhan yang dalam, ibu tua seakan mahu bersuara tapi
terdiam kembali. Akhirnya dia bersuara. "Sabri ada satu kisah yang mama susah
nak lupakan dan sesekali ingatan itu datang akan membuatkan hati mama
terluka.Kadang- kadang ketika membasuh pinggan, mama boleh menangis tersedu-sedu
mengenangkan peristiwa itu. Lukanya amat dalam, masih berbekas hingga sekarang."
Saya terkedu. Mama menyambung, "Sabri tentu inagt arwah ayah
meninggal ketika adik masih kecil. Tanggungan kita ketika itu sangat berat. Duit
pencen ayah memang sedikit dan tak cukup nak tampung hidup kita, Sabri ingat
tak?" Mama mula menangis. Saya tunduk.
"Selepas SPM Sabri ditawarkan menjadi guru sandaran, wang hasil titik peluh
Sabri tu mama gunakan untuk perbelanjaan adik-adik. Satu hari Sabri bagitau mama
Sabri nak melanjutkan pelajaran. Mama merayu supaya
hajat itu ditangguhkan dulu sebab kita kesempitan wang dan minta
Sabri terus bekerja. Berkali-kali Sabri minta dan merayu pada mama
nak sambung belajar juga.Akhirnya mama terpaksa melepaskan Sabri
belajar dalam hati yang penuh terpaksa."
Saya benar-benar terkejut. Mama menyambung lagi, " Cuba bayangkan
ketika itu kalau mama tak izinkan Sabri pergi, mama rasa Sabri tetap
berkeras pergi juga. Dan perginya Sabri ketika itu adalah sebagai
anak derhaka!" Saya meraung sepuas-puasnya, terjelepuk lembik di
pangkuan mama. Mulai hari ini mama ampunkan semua dosa Sabri.
Adik-adik pun dah berjaya. Segala yang terbuku di hati dah habis mama
luahkan. Mama harap mama dapat mengadap Tuhan dengan hati yang
tenang." Ungkapan terakhir mama terasa bagaikan air sungai jernih yang mengalir
sejuk ke seluruh urat saraf saya seakan membasuh dosa yang lalu. Badan saya
terasa ringan yang amat sangat. Syukur kepada Allah hati saya kembali tenang.
Terasa kerja-kerja yang dibuat semakin dibantu Allah.
Sejak peristiwa itu saya selalu berpesan kepada anak-anak, ahli keluarga
dan kawan-kawan agar bersihkan hubungan hati kita dengan ibu kerana
ia sebagai jambatan menuju ke syurga. Saya yang terlibat dalam
program motivasi turut menceritakan pengalaman saya ini kepada
peserta kursus. Bukan niat di hati untuk berbangga tapi apa yang saya
harapkan semua orang dapat berbuat baik dengan ibu, demi kebaikan
didunia dan di akhirat.
Suatu hari selepas selesai menyampaikan ceramah di sebuah kem motivasi,
saya dicuit oleh seorang pegawai lelaki yang sudah melewati usia
40-an. "Ën Sabri, bulan depan telefon saya." Saya
kehairanan. Dari sumber yang diketahui, penganjur program memaklumkan
lelaki tersebut mengambil cuti seminggu untuk pulang ke kampung.
Sebulan kemudian saya menghubunginya dengan telefon."Ën Sabri
terima kasih banyak-banyak kerana mengingatkan saya tempoh hari.
Kalau tidak saya tak tahulah nasib saya." Suara lelaki itu
seakan sebak. Saya bagaikan berteka-teki dengannya. Menurut
ceritanya, selepas program tersebut dia terus pulang ke kampung
menziarahi ibunya yang sudah terlalu uzur dan sudah sekian lama tidak
juga dijengah bertanyakan khabar berita. Sampai
dikampung ibu yang uzur itu dipeluk dan dicium. Ibu tua itu kehairanan
kerana selama ini si anak tidak pernah berbuat demikian. Dalam
tangisan yang penuh syahdu si anak memhon ampun dan maaf di atas
segala silapnya selama ini.
"Syukurkamu dah insaf. Selama hari ini kamu tidak pernah meminta maaf
bersunguh-sungguh. Kamu mungkin jadi nak derhaka kalau mak tak ampunkan dosa
kamu yang satu ini. Umur mak dah 80 tahun. Selama 50 tahun mak memendam rasa.
Dosa yang lain mak boleh ampunkan, tapi dosa yang satu ini mak rasa sungguh
berat dan amat tersinggung. Mak terlalu sedih anak yang mak kandung sembilan
bulan, anak yang mak kenyangkan perutnya dengan air susu mak ini sanggup
mengherdik mak dengan kata-kata 'órang tua bodoh. Tak ada otak."
Cerita lelaki itu, satu hari dia meminta ibunya membasuh sehelai seluar yang
berjenama, dibeli hasil duit gaji pertamanya. Seluar itu terlalu
kotor lalu si ibu merendamnya dengan peluntur. Mak gosok dan lipat.
Beberapa hari kemudian dia mencari seluar itu untuk dipakai bekerja,
malangnya seluar mahal itu didapati telah bersopak-sopak warnanya.
Lalu dia yang berdarah muda menjadi berang, mengherdik si ibu, "Hei,
orang tua bodoh! Tak ada otak keer? Buta ker? Seluar nih mahal tau!!"
Akhirnya dosa si anak diampunkan.
Daripada kedua-dua cerita ini dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa
disebalik ungkapan 'tak ada apa-apa' dari mulut seorang ibu mungkin
ada tersimpan 'apa-apa' yang sangat memilukan hati ibu, akibat
tingkah laku atau tutur kata kita yang menyinggung hatinya. Jagalah
hati ibu, dan sentiasa minta mereka doakan kesejahteraan hidup kita.
Sesungguhnya doa dari seorang ibu sangat makbul.
"Sesungguhnya Allah itu tidak suka kepada orang yang sombong dengan
perbuatannya, sombong dengan perkataannya. " An-Nisa':36
sayangi,hormati,taati ibu selagi tidak membelakangi syarak...
0 Response to "Disebalik ungkapan "tak ada apa-apa.""
Post a Comment