Linguistik : Satu Pemerhatian (tulisan pecah kepala !!)

Linguistik : Satu Pemerhatian Umum Morfologi, Sintaksis dan Semantik

Oleh : Aiman Bin Hamidon

Mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga bahasa ditakrifkan sebagai sistem lambang bunyi suara yg dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia. Wilhelm Von Humboldt seorang sarjana Jerman,mendefinisikan bahasa sebagai sintesis bunyi. Ferdinand de Saussure seorang sarjana linguistik Swiss pada awal abad ke- 20 menyatakan bahasa sebagai sistem isyarat. Charles F. Hockett (1961) dalam bukunya Linguistic Elements and Their Relation memperkatakan bahasa dari sudut psikologi behaviurisme, iaitu sistem tabiat-tabiat sangat rumit . Bloch dan Trager (1942) mendefinisikan bahasa sebagai satu lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan anggota masyarakat untuk berkomunikasi.

Abdullah Hassan dalam blognya menggariskan lima perkara berdasarkan definisi bahasa oleh Sapir (1921) iaitu bahasa adalah kaedah manusiawi bagi mengkomunikasikan idea, emosi dan kemahuan melalui sistem simbol yang dizahirkan secara voluntar. Lima perkara tersebut ialah bahasa hendaklah bersifat humanis, boleh dipelajari, bersistem, bersifat voluntari, dan mempunyai simbol.

Linguistik merupakan satu bidang ilmu yang masih belum dapat difahami sepenuhnya oleh ramai pelajar bahasa dan orang awam. Bagi mereka linguistik adalah satu ilmu mempelajarai bahasa sahaja. Bidang linguistik sebenarnya lebih luas dari itu. Terdapat banyak pendapat tentang definisi sebenar ilmu linguistik. Menurut J.Lyons (1968) linguistik ialah bidang ilmu yang mengkaji bahasa secara saintifik. Kajian secara saintifik ini bolehlah dimaksudkan dengan kesimpulan yang dapat dibuktikan. Abdullah Hassan (1980) menegaskan bahawa sesuatu kajian bahasa yang bersifat saintifik dapatlah dibuktikan melalui pemerhatian yang sah menggunakan prinsip-prinsip tertentu tentang dan kaedah-kaedah yang bertanggungjawab. Pendapat ini sekaligus meletakkan bidang kajian bahasa setaraf dengan kajian-kajian sains.

Dalam bidang linguistik bahan yang dikaji ialah bahasa. B.Bloch dan G.L.Trager (1942) berpendapat kajian bahasa ialah mengkaji dan mendiskripsi bahasa dari apa yang dapat didengar, dilihat dan dibaca. D.L. Bolinger (1968) menyamakan satu kajian adverba yang dilakukan oleh seorang ahli linguistik adalah sama dengan satu kajian mengenai atom yang dilakukan oleh saintis.

Dalam memastikan kajian bahasa benar-benar bersifat saintifik dan diiktiraf, kajian linguistik perlu berasaskan tiga prinsip utama kajian sains iaitu menyeluruh, konsisten dan ekonomis. Menyeluruh bermaksud proses analisa dijalankan kepada keseluruhan bahan yang dikaji supaya kesimpulan yang diperoleh lengkap dan menyeluruh. Konsisten pula bertujuan memastikan hasil kajian tidak bercanggah dan terdapat kesinambungan yang jelas yang dapat membuktikan kesahan kajian. Ekonomis pula merujuk kepada kesimpulan dan analisa kajian yang dapat diterangkan dengan jelas, ringkas dan kemas.

Morfologi ialah bidang ilmu bahasa yang mengkaji struktur, bentuk dan penggolongan kata. Dalam erti kata lain morfologi ialah bidang linguistik yang mengkaji bagaimana perkataan dibina. Bidang kajiannya merangkumi unsur-unsur yang membentuk perkataan, proses-proses yang membentuk perkataan dan bentuk-bentuk penghasilan perkataan itu. Dalam sesebuah perkataan terdapat dua unsur yang dipanggil morfem dan juga kata. Secara khususnya morfem bermaksud unsur atau unit bahasa yang terkecil yang mempunyai makna atau fungsi tatabahasa. Contoh morfem adalah seperti lawan, singgah, semak , rendah yang mempunyai makna tersendiri dan tidak boleh dikecilkan lagi. Morfem-morfem inilah yang disebut sebagai morfem bebas kerana mampu berdiri sendiri Di dalam bahasa Melayu terdapat juga unsur-unsur lain yang tidak bermakna tetapi mempunyai fungsi tatabahasa yang tersendiri apabila digabungkan dengan sesuatu morfem lain. Misalnya unsur-unsur -nya, -kah, ber- , -an dan lain-lain.

Kaedah menganalisis morfologi boleh dilakukan secara saintifik. Dalam menganalisis morfem-morfem ini,kita perlu faham bahawa bahan ujaran itu dapat dipecahkan kepada morf-morf. Morf-morf ini dibanding-bandingkan sehingga ia terpecah kepada unit-unit yang berasingaan. Konsep ini sama seperti kita menghasilkan fon dan fonem. Bunyi dipecahkan kepada morf atas dasar setiap satunya mempunyai makna atau fungsi tatabahasa. Kemudian perbezaan dalam unit terkecil akan mengesahkan sebuah morf itu bertaraf morfem. Contoh yang dapat dilihat dalam perkataan bersenam yang terdiri dari awalan ber- yang mempunyai fungsi tatabahasa dan senam yang mempunyai makna. Apabila perkataan ini dipecahkan kepada unit terkecil ia akan menghasilkan dua morf iaitu awalan ber- dan kata dasar senam. Dengan melihat perbezaan itu maka kedua-duanya sudah mencapai taraf morfem.

Tidak semua morfem boleh dipecahkan. Terdapat juga morfem yang terhasil dari perkembangan proses tatabahasa. Penggandaan merupakan salah satu proses yang menghasilkan satu morfem tunggal. Sebagai contoh perkataan undang-undang, orang-orang, dan kura-kura . Penggandaan kata dasar itu menghasilkan satu makna sekaligus menjadikannya sebuah morfem. Namun demikian terdapat juga morfem-morfem yang mempunyai bentuk yang berlainan yang dapat dilihat dari perkataan melawat, memukul, membuat, menampar, menyuruh, mengawal, menggoreng, mengacu dan mengelap. Kita dapat melihat bentuk me-, mem-, men-, meny-, meng- dan menge- wujud , tetapi terdapat perubahan fonem bergantung kepada fonem pangkal dalam kata dasar yang menerima imbuhan tersebut. Namun semuanya mempunyai fungsi tatabahasa yang serupa. Dari sudut fonologi bentuk-bentuk tersebut akan menyukarkan usaha memisahkan unsur imbuhan tersebut dari kata dasarnya. Apabila ini berlaku tempat pemisahan akan ditandakan dengan tanda sempang (-). Maka dapatlah kita lihat me-lawat, me-m-ukul, mem-buat, me-n-ampar, me-ny-uruh, me-ng-awal, meng-goreng, meng-acu dan menge-lap. Dalam beberapa contoh kita dapat melihat bentuk kata dasar tidak dapat dipisahkan daripada awalan me-.

Di samping itu ada bentuk yang berubah menjadi m, n, ny, ng dan nge. Bagi mengelakkan kesukaran maka unsur-unsur yang berubah ini dilambangkan dengan N. N inilah yang dipanggil arkifonem ataupun fonem yang melambangkan beberapa fonem. Oleh sebab perubahan ini berlaku dalam penggabungan morfem, maka N dipanggil ciri morfofonem.

Dalam kajian linguistik, bentuk-bentuk ini semuanya dapat dilambangkan sekaligus seperti meN-. Dalam lambang ini, unsur N boleh gugur atau berubah menjadi m, n, ny, ng dan nge. Sekarang meN- bolehlah dapat dikatakan melambangkan me-, mem-, meny-, meng- dan menge- sekaligus. Oleh sebab itu meN- yang dikatakan mempunyai satu fungsi tatabahasa tadi dapatlah diberi satu lambang sahaja. Morfem ditulis dalam tanda { }. Morfem {meN-} mempunyai banyak bentuk fonologi, iaitu /me-/, /mem-/, /men-/, /meny-/, /meng-/, /menge-/ bergantung kepada lingkungan fonologi kata dasar. Setiap bentuk fonologi yang berlainan itu dipanggil morf. Oleh yang demikian, morfem {meN-} dapat dilihat mempunyai enam morf. Setiap satu morf beralomorf dengan yang lain. Alomorf diberi lambang. Jadi morfem {meN-} mempunyai alomorf : /me-/ ~/mem-/~/men-/~/meny-/~/meng-/ dan /menge-/.

Dalam mengklasifikasikan morfem, kita perlu tahu terdapat dua jenis morfem iaitu morfem bebas dan morfem terikat. Morfem bebas boleh berdiri sendiri manakala morfem terikat harus bersama sekurang-kurangnya satu morfem lain. Sebagai contoh, lihat kata berlari. Kata ini terbentuk dari cantuman ber- dan lari. Bentuk lari boleh digunakan secara bersendirian sebagai sebuah kata, tetapi ber- memerlukan suatu bentuk lain dalam penggunaannya.

Dalam konteks ini kata lari dikatakan morfem bebas dan ber- dikatakan morfem terikat. Bukan semua kata itu boleh dikategorikan sebagai morfem bebas. Contohnya anai-anai yang mengandungi morfem anai tetapi terikat. ini kerana jika tidak digandakan menjadi anai-anai morfem itu tidak dapat berdiri sendiri. Begitu juga dengan kata nyala yang perlu menerima morfem lain seperti me- atau ber- untuk menjadi menyala atau bernyala.

Di samping itu morfem juga digolongkan menurut cara ia digunakan dalam bahasa. Morfem boleh dibahagikan kepada akar dan imbuhan. Akar ialah bahagian perkataan yang tinggal apabila semua imbuhan dipisahkan. Contohnya dalam perkataan mempermain-mainkan morfem akarnya ialah main. Morfem lain me-, per- dan –kan dipanggil imbuhan. Unsur ganda juga dianggap sebagai satu morfem kerana ada fungsi tatabahasanya. Morfem akar boleh terdiri daripada morfem bebas atau morfem terikat, tetapi morfem imbuhan hanya akan terdiri daripada morfem terikat.

Morfem imbuhan pula dapat dibahagikan kepada empat bahagian mengikut kedudukannya dengan kata dasar iaitu imbuhan awalan, akhiran, sisipan dan kurungan. Imbuhan awalan dan akhiran amat mudah dikenali kerana ia biasanya terletak di pangkal atau hujung kata dasar. Imbuhan sisipan pula terletak selepas huruf pertama kata dasar seperti g-em-uruh, g-em-ilang, g-em-erlapan dan lain-lain. Apitan atau kurungan digunakan serentak di awal dan akhir kata dasar seperti ke-duduk-an, per-soal-an, per-surat-an dan lain-lain.

Dalam mendiskripsi morfologi terdapat tiga kaedah yang biasa diguanakan oleh ahli linguistik. Pertama ialah Item dan Atur, Item dan Proses, dan Wadah dan Perkataan. Setiap kaedah ada kelemahan dan kelebihan dan setiap satunya sesuai untuk mendiskripsi morfologi suatu jenis bahasa tertentu.

Item dan Atur adalah kaedah yang sesuai untuk mendiskripsi struktut atau binaan morfologi bahasa-bahasa aglutinatif. Bahasa aglitinatif mempunyai unsur morfem dan kata yang boleh digabungkan bagi membentuk perkataan baharu. Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa aglutinatif. Morfem imbuhan dan kata mempunyai unsur yang berlainan dan dapat diatur bagi membentuk perkataan lain. Binaan morfologi Bahasa Melayu dapat didiskripsikan dengan menggunakan kaedah ini. Binaan perkataannya dapat didiskripsikan dengan mengatur morfem-morfem menjadi bentuk kata. Contohnya me+beli maka terhasilah membeli.

Item dan Proses pula sesuai bagi mendiskripsi binaan morfologi bahasa-bahasa yang mempunyai bentuk morfem yang tidak semetinya mempunyai bentuk nyata,. Morfem dapat diwakili oleh bentuk kata yang berlainan diterbitkan daripada proses morfologi yang berlaku pada satu bentu dasar. Sebagai contoh kita lihat proses membentuk kata go dalam bahasa Inggeris dan kata kala lepasnya (past tense) ialah went. Oleh itu, kala lepas adalah satu proses.

Kaedah terakhir ialah Wadah dan Perkataan yang mendiskripsi binaan morfologi yang mempunyai wadah atau acuan yang tersendiri. Wadah ialah satu paradigma. Sebagai contoh kita lihat satu paradigma yang mudah dalam perbandingan kata adjektif dalam bahasa Inggeris iaitu perkataan big,bigger dan biggest. Kata akarnya masih tidak berubah namun ada unsur yang dimaksudkan bagi membezakan antara perkataan-perkataan tersebut.

Dalam pengajaran bahasa Melayu di sekolah-sekolah bidang morfologi difokuskan kepada tiga item iaitu bentuk kata, proses pembentukan kata dan golongan kata. Mengikut buku Tatabahasa Dewan terdapat empat bentuk kata dalam bahasa Melayu iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda. Kecuali kata kata tunggal, kata-kata lain terlibat dengan proses pengimbuhan, penggandaan dan pemajmukkan

Kata tunggal ialah perkataan ialah perkataan yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami sebarang proses pembentukan kata. Kata tunggal boleh dibahagikan kepada dua iaitu yang mempunyai satu suku kata seperti yu, roh dan wang dan yang mempunyai lebih suku kata seperti apa, bakul dan singgahsana. Dalam bahasa Melayu perkataan yang terdiri daripada satu suku kata sangat terhad dan kebanyakannya berpotensi untuk dikembang menjadi kata terbitan. Akronim dalam bahasa Melayu turut dikategorikan sebagai kata tunggal sama ada kata nama khas atau kata nama am contohnya PETRONAS (Petroleum Nasional) dan tadika (taman didikan kanak-kanak).

Kata terbitan ialah bentuk perkataan yang dihasilkan melalui proses pembentukan kata pengimbuhan iaitu proses menggandingkan imbuhan dan pada kata dasar. Imbuhan ialah morfem terikat dan kata dasar ialah bentuk morfem bebas. Terdapat empat jenis imbuhan iaitu awalan,akhiran, sisipan dan apitan. Jenis-jenis imbuhan bergantung kepada kedudukan imbuhan dalam kata terbitan tersebut.

Kata majmuk ialah perkataan yang dibentuk melalui proses pembentukan kata pemajmukan iaitu dengan merangkaikan dua kata dasar atau lebih, dan perkataan yang terhasil membawa makna tertentu, bertindak sebagai satu unit dan lazimnya dieja terpisah. Contoh kata majmuk ialah kerusi malas, terima kasih, kereta api dail, telefon bimbit dan kapal terbang. Kata majmuk hendaklah dibezakan daripada frasa. Dua perkataan digabungkan menjadi kata majmuk bertindak sebagi satu unit dengan maksud tidak boleh menerima sebarang penyisipan. Sebagai contoh kita lihat antara kata majmuk rumah batu dan frasa rumah besar. Rumah batu tidak boleh menerima penyisipan seperti rumah yang batu atau rumah dan batu kerana ia membawa maksud yang berbeza. Tetapi dalam perkataan rumah besar, yang boleh disisipkan menjadi rumah yang besar.

Dalam bahasa Melayu terdapat tiga kategori kata majmuk. Pertama ialah kata majmuk yang terdiri daripada rangkai kata bebas seperti bandar raya,hijau daun, Perdana Menteri, dan Profesor Madya. Kedua ialah kata majmuk yang membentuk istilah khusus seperti deria rasa, segi tiga, dan pita suara. Ketiga ialah kata majmuk simpulan bahasa seperti kaki ayam, rabun ayam dan pilih kasih. Terdapat juga bentuk kata majmuk yang sudah mantap. Dalam bahasa Melayu terdapat lima belas kata majmuk yang telah mantap, dieja secara dekat tetapi mempunyai dua kata dasar. Antaranya ialah antarabangsa, sukarela, dan bumiputera.

Kata ganda ialah perkataan yang mengalami proses pembentukan kata penggandaan iaitu pengulangan pada kata dasar , sama da penggandaan penuh seperti murid-murid atau sebahagian seperti pepejal. Terdapat tiga bentuk kata ganda iaitu kata ganda penuh, kata ganda separuh dan kata ganda berentak.

Kata ganda penuh mengalami pengulangan secara keseluruhan seperti rumah-rumah dan pelajar-pelajar. Kata ganda separa pula terbentuk melalui penggandaan sebahagian kata dasar sahaja. Contohnya lelaki dan jejari yang mengalami penambahan e pepet pada huruf konsonan awal perkataan asal laki dan jari. Selain itu kata ganda separa juga boleh terdiri daripada kata ganda yang berimbuhan,tetapi imbuhan tersebut tidak digandakan seperti berlari-lari dan cinta mencinta. Kata ganda berentak ialah kata ganda yang mengalami pengulangan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu. Bunyi tersebut biasanya diulang atau diubah. Contohnya sayur-mayur (pengulangan vokal), mundar-mandir (pengulangan konsonan) dan ipar-duai (terbentuk berdasarkan rentak bunyi).

Berdasarkan proses-proses pembentukan kata maka wujudlah golongan kata. Dalam bahasa Melayu terdapat empat jenis golongan kata iaitu kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Golongan-golongan ini dipecahkan mengikut kriteria semantik.

Kata nama ialah sejumlah perkataan yang menjadi inti dalam binaan frasa nama. Lazimnya kata nama menamakan tempat, benda atau konsep. Berdasarkan ciri semantik kata nama terbahagi kepada tiga iaitu kata nama am, kata nama khas dan kata ganti nama. Kata nama khas merujuk pada sesuatu yang khusus sama ada institusi, tempat, orang atau seumpamanya dan biasanya ditulis dengan huruf besar pada huruf pertamanya contohnya Kuala Lumpur, Najib dan Universiti Malaya. Kata nama am pula ialah perkataan yang merujuk kepada benda, perkara atau konsep yang umum sifatnya. Misalnya sekolah, buku, udara,air, keindahan dan keghairahan. Kata ganti nama pula ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas atau am. Golongan kata ganti nama boleh dipecahkan kepada dua jenis iaitu kata ganti nama tunjuk yang hanya terdiri dari dua perkataan iaitu ini dan itu manakala satu lagi dipanggil kata ganti diri seperti apa, saya, anda, dan ia.

Kata kerja ialah perkataan yang menjadi inti bagi binaan frasa kerja. Lazimnya kata kerja menunjukkan suatu perbuatan atau keadaan melakukan sesuatu. Terdapat dua golongan kata kerja iaitu kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif. Kata kerja tak transitif ialah kata kerja yang tidak memerlukan penyambut dan boleh berdiri sendiri. Contohnya pergi, menangis dan duduk. Kata ini boleh wujud sama ada bersama pelengkap atau tanpa pelengkap. Kata kerja transitif pula merupakan kata kerja yang mengandungi objek yang boleh terdiri daripada kata atau frasa nama untuk melengkapkan maksudnya seperti membeli buku. Jika tiada perkataan buku maka perkataan membeli amat sukar dijelaskan dan kelihatan tergantung.

Kata adjektif atau kata sifat ialah perkataan yang mengandungi unsur-unsur inti dalam binaan frasa adjektif. Frasa adjektif boleh terdiri daripada hanya satu kata adjektif atau beberapa perkataan yang mengandungi kata adjektif dan unsur-unsur keterangan yang lain seperti kata bantu dan kata penguat. Kata adjektif terbahagi kepada sembilan jenis iaitu sifat, warna, ukuran, bentuk, waktu, jarak, cara, perasaan dan pancaindera.

Kata terakhir dalam golongan kata ialah kata tugas. Kata tugas ialah golongan perkataan selain daripada tiga golongan yang disebutkan di atas yang mendukung sesuatu tugas tertentu dalam binaan ayat, klausa, dan frasa. Kehadiran kata tugas dalam ayat tidak berfungsi sebagai inti dalam sebarang frasa utama, sebaliknya mendukung sesuatu tugas sintaksis tertentu sama ada sebagai penghubung, penerang, penentu, penguat, pendepan, pembantu, penegas dan lain-lain. Berdasarkan tugas-tugas tersebut kata tugas boleh dipecahkan kepada enam belas jenis iaitu kata hubung, kata seru, kata tanya, kata perintah, kata pangkal ayat, kata bantu, kata penguat, kata penegas, kata nafi, kata pemeri, kata sendi nama, kata pembenar, kata arah, kata bilangan, kata penekan dan kata pembenda.

Sintaksis ialah bidang yang mengkaji binaan ayat, iaitu bagaimana kata disusun menjadi frasa dan bagaimana frasa disusun menjadi ayat. Kajian ini melibatkan hubungan gramatis antara kata dengan kata, dan frasa dengan frasa, dan ayat dengan ayat bagi membina ayat. Dengan kata lain kita akan dapat melihat bagaimana frasa dan ayat terbina melalui pola-pola tertentu. Akhir sekali kita akan dapat melihat jenis binaan tersebut.

Dalam sintaksis adalah penting bagi pengkajinya memahami setiap unsur yang terdapat di dalamnya. Ayat ialah unit pengucapan yang paling tinggi dalam susunan tatabahasa dan mengandungi makna yang lengkap. Ayat boleh terbentuk dari satu perkataan atau susunan beberapa perkataan yang pengucapnya dimulakan dan diakhiri dengan kesenyapan, serta mengandungi intonasi yang sempurna.

Setiap pembentukan ayat dalam sesuatu bahasa dikenali senagai binaan atau konstruksi. Sesuatu binaan terdiri daripada susunan beberapa rangkai kata yang dikenali sebagai unsur atau konstituen. Dalam ayat “Pelajar itu berdiri.” Dapat diperhatikan terdapat dua konstituen iaitu pelajar itu dan berdiri.

Setiap ayat terbina daripada dua konstituen iaitu subjek dan predikat. Kedua-duanya boleh terdiri daripada satu atau beberapa perkataan. Subjek ialah konstituen yang menjadi judul atau unsur yang diterangkan dalam sesuatu ayat. Dalam Bahasa Melayu subjek biasanya tediri daripada frasa nama. Predikat pula ialah konstituen yang menjadi unsur yang menerangkan subjek. Dalam Bahasa Melayu biasanya predikat boleh terbentuk daripada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.

Klausa ialah satu unit rangkaian perkataan yang mengandungi subjek dan predikat. Sebagai konstituen pembentukan ayat, klausa terbahagi kepada dua jenis iaitu kluasa bebas dan klausa tak bebas. Klausa bebas ialah klausa yang boleh berdiri sendiri dan bersifat sebagai ayat apabila diucapkan dengan sempurna. Contohnya klausa kamu berani yang dapat membentuk ayat “Kamu berani.” . Klausa bebas ini dapat juga menjadi sebahagian klausa kepada ayat yang lebih luas contohnya “Kamu berani kerana kamu benar.” Di dalam ayat ini terdapat klausa utamanya ialah kamu berani dan dihubungkan dengan kata hubung kerana kepada klausa kedua iaitu kamu benar. Oleh kerana klausa kamu benar tidak dapat berdiri sendiri maka ia dipanggil klausa tak bebas.

Frasa ialah unit yang boleh terdiri daripada satu susunan yang mengandungi sekyrang-kurangnya dua atau satu perkataan yang berpotensi untuk diperluas menjadi dua perkataan atau lebih. Frasa berbeza dengan klausa dari dua segi iaitu frasa tidak mempunyai subjek dan predikat, atau dalam satu susunan tatabahasa frasa boleh menjadi konstituen kepada klausa. Dalam erti kata lain suatu klausa boleh terdiri dari beberapa frasa. Contoh pengembangan frasa ialah perkataan pelajar yang boleh dikembangkan menjadi seorang pelajar, seorang pelajar sekolah, dan seorang pelajar sekolah rendah yang merupakan satu frasa.

Bagi menjelaskan lagi konsep ayat, klausa dan frasa kita boleh menganalisis binaan ayat “Pelajar itu belum tiba lagi.” . Dalam ayat ini klausanya ialah pelajar itu belum tiba lagi. Kita dapat lihat klausa ini berpotensi menjadi satu ayat. Terdapat dua frasa dalam ayat ini iaitu frasa pelajar itu dan belum tiba lagi.

Binaan sintaksis dikaji daripada dua aspek. Pertama ayat dikaji dengan melihat bagaimana unsur-unsur sintaksis bergabung menjadi frasa dan ayat melalui unit-unit sintaksis. Kedua ayat dikaji dengan meneliti bagaimana struktur-struktur ayat dibina serta fungsi-fungsinya.

Hubungan sintaksis itu ialah hubungan kata dengan kata dalam membina frasa dan ayat. Secara khusus hubungan sintaksis melihat bagaimana unsur-unsur sintaksis seperti kata,frasa,klausa dan ayat berhubung membentuk binaan sintaksis. Dalam Bahasa Melayu terdapat empat hubungan sintaksis iaitu hubungan posisi, hubungan berdampingan, hubungan kepertukaran dan hubungan unsur terdekat.

Hubungan posisi ini mengkaji perkaitan antara kata,frasa dan klausa hingga terbentuknya ayat. Namun hubungan ini lebih memfokuskan kepada posisi kata yang menerangkan dan diterangkan. Maka atas hubungan inilah lahirnya Hukum DM iaitu D(diterangkan) dan M (menerangkan). Umpamanya perkataan pisang goreng yang merupakan kata majmuk di mana goreng menerangkan pisang tersebut. Hubungan berdampingan pula bermaksud ada kata-kata yang digunakan dengan kata-kata tertentu sahaja. Contohnya dalam penggunaan kata kerja transitif kata nama yang bernyawa perlu menjadi objek. Contohnya kuda berlari di mana kuda adalah kata nama bernyawa yang menjadi objek dan berlari ialah kata kerja. Ini lah contoh hubungan berdampingan antara kata.

Hubungan kepertukaran pula bermaksud kata-kata dalam frasa,klausa atau ayat menunjukkan ada hubungan secara bertingkat secara sintaksis. Dalam frasa orang gemuk, kata orang boleh menggantikan seluruh frasa orang gemuk. Ini bermaksud seluruh frasa dapat diwakili oleh sebahagian frasa tersebut. Inilah yang dikatakan hubungan kepertukaran.

Apabila unsur-unsur bahasa seperti morfem, kata, frasa, klausa dan ayat bergabung antara satu sama lain maka terhasillah binaan sintaksis. Semua binaan sintaksis yang terbentuk dari unsur-unsur yang lebih kecil boleh dibahagikan kepada dua jenis yang dikatagorikan menurut hubungan antara unsur-unsur dalam binaa tersebut iaitu binaan endosentrik dan binaan eksosentrik.

Binaan endosentrik terbentuk hasil dari gabungan hubungan kepertukaran. Dalam hubungan jenis inii terdapat dua unsur sintaksis yang lebih besar mempunyai penyebaran yang sama dengan sekurang-kurangnya satu daripada unsur-unsur yang terkandung di dalamnya. Contohnya dalam frasa budak pandai itu lulus. Kata pandai yang menerangkan frasa budak pandai boleh digugurkan sehingga menjadi budak itu lulus. Begitu juga dengan itu yang boleh digugurkan sehingga menjadi budak lulus. Dalam frasa orang tua dan muda pula, kata orang dapat menggantikan seluruh frasa kerana tua dan muda merupakan inti yang menerangkan orang secara serentak. Inilah dinamakan binaan endosentrik setara.

Binaan eksosentrik terbentuk apabila tiada sebarang unsur dalam satu frasa yang mempunyai penyebaran yang sama dengan frasa tersebut, maka binaa frasa itu dinamakan eksosentrik. Binaan ini tidak mempunyai inti dan penerang maka ia tidak boleh dikecilkan lagi. Jenis binaan ini dapat dilihat dengan jelas pada subjek dan predikat dalam ayat. Contohnya dalam ayat tunggal Ali berjalan dan Ali guru. Kata nama khas Ali tidak dapat mewakili seluruh ayat itu. Inilah yang dikatakan hubungan eksosentrik subjek dan predikat.

Bahasa merupakan sistem perhubungan yang amat penting bagi manusia. Sebagai suatu unsur yang dinamik, bahasa sentiasa dianalisis dan didekati dengan menggunakan perbagai pendekatan untuk mengkajinya. Antara pendekatan yang dapat digunakan untuk mengkaji bahasa ialah pendekatan makna. Bidang makna atau semantik, yang sebenarnya menjadi sebahagian daripada ilmu linguistik ini, menjadi suatu hal yang amat penting memandangkan hal kajian bahasa tidak akan sempurna jika tidak ada unsur makna.

R. H. Robbins (1952) menegaskan bahawa kajian makna merupakan salah satu bahagian yang penting dalam linguistik am. Sementara itu, Firth (1944) menegaskan bahawa makna menjadi inti dalam kajian bahasa. Lazimnya, kata ‘makna’ memberi erti ‘maksud’ atau ‘erti’. Walau bagaimanapun, kata makna boleh diberi bermacam-macam pergertian lagi. Misalnya, Ogden dan Richard dalam buku The Meaning of Meaning (1956) pernah memberi 16 pengertian dan erti bagi makna, antaranya makna adalah suatu yang intrinsik, pokok, kemahuan, dan suata peristiwa yang diharapkan. Dengan yang demikian, kita dapat membayangkan betapa rumit sekali makna bagi ‘makna’.

Definisi perkataan semantik mengikut bahasa penggunaan harian dan istilah ilmu kajian linguistik adalah bebeza. Dalam bahasa harian semantik hanya bermaksud makna. Tetapi dalam bidang kajian linguistik istilah semantik bermaksud kajioan fenomena makna dalam bahasa. Semantik berasal daripada perkataan yunani kuno iaitu Sema yang bermaksud isyarat dan berkembang menjadi semantik bagi menamakan satu bidang ilmu dalam mengkaji makna.

Pada mulanya sarjana bahasa mengkaji makna dengan membanding-banding perkataan . sebagai contoh dalam memberi makna perkataan dalam kamus, kita huraikan ciri-ciri maknanya, kita sebutkan perkataan lain yang sama maknanya dan kita sebutkan perkataan yang berlawanan dengan maknanya. Ini adalah cara sarjana dahulu memberi makna. Akhir-akhir ini kajian semantik menjadi bertambah penting., lebih-lebih lagi apabila komponen makna digabungkan dengan tatabahasa geratif transformasi. Malah kajian makna semaki mendapat fokus apabila usaha untuk mengkaji makna meningkat. Kajian makna melihat juga makna melalui wacana dan pragmatik, iaitu penggunaan bahasa dalam konteks.

Dalam bahasa Melayu terdapat perkataan yang ada satu bentuk tetapi maknanya yang banyak, seperti kata dalam, semak, dan rendang. Hal ini akan terbukti jika dicari makna bagi perkataan – perkataan tersebut dalam kamus. Selain itu, ada perkataan yang berkongsi dan bertindan makna dengan kata yang lain. Contohnya, perkataan bercakap berkongsi dan bertindan makna dengan kata bisik, jerit, teriak kerana dalam semua perkataan ini ada komponen makna yang berkaitan dengan hal penyuaraan. Demikian juga mawar, teratai, orkid, semua bertindak makna dengan satu sama lain kerana memiliki dalamnya makna umum bunga.

Oleh sebab ada pelbagai jenis kata, bentuk kata, makna yang pelbagai, maka kata-kata dalam bahasa Melayu seperti dalam bahasa-bahasa lain dapat dikategorikan kepada beberapa golongan seperti sinonim , antonim, hiponim dan polisem.

Sinonim merujuk kepada fenomena bahasa apabila ada perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sama. Contohnya ialah kereta dan motokar. Namun perkataan itu tidaklah sama sepenuhnya kerana ada ketika salah satu dari perkataan tersebut tidak dapat digunakan dalam konteks yang sama. Sebagai contoh kita boleh menggunakan perkataan kereta lembu tetapi tidah bagi motokar lembu. Ini membuktikan sinonim tidak semestinya sama keseluruhan. Dan perkataan motokar sendiri berasal dari bahasa Inggeris. Sinonim ini wujud berdasarkan pinjaman

Selain itu sinonim juga dapat dilihat secara konteks seperti dalam perkataan undang dan jemput. Jemput biasanya merujuk kepada konteks lisan manakala undangan biasa digunakan dalam tulisan. Laras sosial juga turut mewujudkan sinonim. Contohnya bagi perkataan mati, istilah istana ialah mangkat. Wafat pula biasa digunakan untuk para nabi dan rasul. Selain itu perkataan mampus, kojol, kejang dan kerpus adalah perkataan yang tidak senonoh namun masih membawa maksud yang sama dengan mati.

Ada juga kelompok perkataan sinonim yang setiap satunya berlaku dalam konteks penggunaan masing-masing. Ini dipanggil sinonim berdasarkan kolokial. Sebagai contoh perkataan basi dan kemuruk membawa makna busuk. Namun ia tidak boleh digunakan secara bebas kerana kemuruk biasanya merujuk kepada telur busuk manakala basi merujuk kepada nasi yang sudah busuk.

Antonim merupakan perkataan berlawan makna. Perkataan antonim berasal daripada bahasa Yunani kuno iaitu onoma yang bererti nama dan anti yang bererti melawan. Contoh antonim termasuklah baik-jahat, tinggi-rendah dan panjang-pendek. Namun tidak semua perkataan berlawan dalam konteks yang sama. Sebagai contoh baharu lawannya buruk. Namun jika dikaji terdapat juga perkataan lain yang boleh menjadi lawannya seperti lama.

Istilah polisim pula merujuk kepada fenomena perkataan yang mempunyai banyak makna. Ini mungkin terjadi secara semula jadi ataupun secara konteks. Ini menimbulkan polisim tulen dan dan polisim menurut konteks.

Polisim tulen dapat dilihat apabila apabila ada perkataan yang mempunyai banyak makna secara semual jadi. Sebagai contoh dalam Kamus Dewan (1970) berat diertikan 1. tekanan (berang berat), 2. sukar (masalah berat), 3. sangat (sakit berat) dan 4. memihak (berat sebelah). Ada empat makna yang berlainan diberikan. Ini adalah perkataan polisim tulen. Pada pihak-pihak lain pula, perkataan-perkataan yang sekadar mempunyai satu sebutan atau sama ejaan diperlakukan sebagai kata masukan yang berlainan, dan perkataan ini bukanlah polisim yang mempunyai banyak makna.

Apabila kita melihat dengan teliti tentang makna perkataan, maka ada pula perkataan yang mempunyai makna yang berlainan bergantung kepada konteksnya. Sebagai contoh kata nama telur yang merujuk kepada benih yang dilahirkan oleh burung. Namun ada juga penggunaan telur yang berlainan maksud contoh mendapat telur dalam ujian yang bermaksud ‘markah kosong’. Ada juga yang menyamakan kesan lebam sebagai telur. Inilah yang dikatakan polisim menurut konteks.

Perkataan yang mempunyai banyak makna, tidak boleh dikelirukan dengan perkataan yang mempunyai sama bentuk ejaan iaitu homograf ataupun yang mempunyai sama sebutan iaitu homofon. Sebagai contoh daki boleh membawa maksud ‘kotoran’ ataupun ‘memanjat’. Perkataan daki yang berlainan maksud itu sebenarnya adalah dua perkataan yang berlainan dan tidak berkaitan. Hanya secara kebetulan sahaja sama sebutan dan ejaannya.

Hiponim berasal daripada bahasa Yunani kuno iaitu hyppo yang bererti ‘di bawah’. Hiponim ialah ungkapan di mana maknanya dianggap sebahagian daripada makna ungkapan lain. Misalnya tenggiri adalah hiponim terhadap ikan. Abdullah Hassan (1981) membahagikan hiponim kepada hiponim tulen dan hiponim umum. Hiponim tulen dirujuk kepada perkataan yang mempunyai jumlah perkataan yang terhada dalam golongannya. Contohnya perkataan padi yang berhiponim dengan beras dan nasi. Hiponim umum pula merujuk kepada maksud yang luas bagi sesuatu perkataan dan tidak terhad. Contohnya bunga yang boleh diluaskan kepada pelbagai jenis bunga.

Dalam menghuraikan makna terdapat dua jenis makna yang perlu kita tahu iaitu makna denotasi dan makna konotasi. Dalam setiap perkataan, ada komponen yang dikatakan makna inti. Makna sesuatu perkataan ini mungkin luas atau mungkin berubah, tetapi ada komponen yang tetap. Sebagai contoh makna inti perkataan kaki ialah ‘anggota badan manusia atau binatang (di bahagian bawah) digunakan bagi bergerak’. Ini lah makna yang akan diperoleh dari kamus-kamus bahasa Melayu. Maka inti yang tercatat dalam kamus itulah dipanggil makna denotasi. Maksud denotasi ialah makna yang ditunjukkan oleh sesuatu perkataan tersebut.

Apabila berlaku makna perluasan kaki seperti kakai bukit, kaki langit., kaki kain dan lain-lain, maka kita masih mendapati makna denotasi ‘di bahagian bawah’ itu masih wujud. Kaki bukit contohnya membawa maksud bahagian pangkal bukit begitu juga dengan kaki langit dan kaki kain yang maknanya berkait dengan bahagian bawah. Komponen inilah yang dinamakan makna denotasi perkataan dan wujud dalam semua perkataan. Inilah yang dijadikan asas kajian.

Ada golongan perkataan yang mempunyai makna tambahan di samping makna konotasi. Penggunaan sesuatu perkataan dalam sesuatu bahasa dan budaya memberi tanbahan kepada makna perkataan tersebut. Lihatlah penggunaan kata nama bunga dan warna. Dalam budaya Melayu contohnya bunga kemboja membawa makna tambahan. Selain diertikan sebagai sejenis bunga, bunga kemboja juga membawa makna ‘duka kerana kematian’. Ini berkait rapat dengan kawasan perkuburan yang banyak ditanam dengan bunga kemboja. Inilah yang dikatan makna konotasi perkataan tersebut. Namun konotasi ini adalah buruk.Dalam masyarakat Hawaii bunga kemboja mempunyai konotasi yang baik. Atas sebab itu bunga ini akan digunakan bagi menyambut tetamu yang tiba di Lapangan Terbang Honolulu.

Salah satu aspek yang amat diminati dalam kajian makna ialah perubahan makna dalam bahasa. Oleh sebab bahasa bersifat dinamik, maka perkataan yang menjadi unit asas kepada bahas, sentiasa mengalami perubahan. Hal ini sudah sejak dahulu lagi diamati oleh pengkaji bahasa. Menurut mereka, terdapat banyak factor yang merangsangkan perubahan.

Ullmann dalam bukunya Semantics: An Introduction to the Science of Meaning (1962), misalnya memberikan enam sebab utama bagi perubahan makna dalam bahasa. Antaranya adalah seperti sebab-sebab sejarah, sebab-sebab sosial, sebab-sebab psikologi, pengaruh luar, keperluan untuk kata baharu.

Bloomfield dalam bukunya Bahasa (1933) pula ada menyenaraikan sembilan jenis perubahan yang berlaku dalam bahasa. Menurutnya, makna kata boleh disempitkan dan diperluaskan. Selain itu, ada metafora, metonimi, sinekdoksi, hiperbola, litotes, pejorasi, dan ameliorasi yang juga menandakan perubahaan-perubahan dalam sesuatu bahasa.

Makna kata berubah kerana perkembangan dalam bahasa itu sendiri. Ini bermaksud, makna sesuatu perkataan itu akan berubah mengikut perubahan masa, teknologi dan hubungan sosial masyarakat. Misalnya, kata belayar, pada satu ketika dahulu digunakan untuk perahu yang ada layar, tetapi kini telah berubah makna kerana kapal sekarang tidak menggunakan layar tetapi menggunakan kuasa tenaga. Atau, contoh perkataan rawat: Makna umum adalah menjaga dan mengubati orang sakit, tetapi makna barunya sekarang meliputi merawat sisa kumbahan, pokok (nurseri).

Demikian juga kata tangan, pada asalnya dirujuk kepada salah satu anggota badan. Tetapi, makna diubah untuk mencakup makna ‘menguruskan’, mengendalikan’, dalam ayat seperti ‘Kita perlu berhati-hati ketika menangani kes ini’. Ada kalanya makna negatif berubah menjadi makna positif disebabkan penggunaan dalam bahasa. Umpamanya, kini kita sering menemukan ayat atau ujaran. “Gejala penukaran kod amat berleluasa di kalangan pengguna bahasa Melayu.” Dalam contoh ini, kata gejala bukan dinyatakan sebagai suatu unsur negatif, tetapi sebagai suatu kejadian. Perubahan-perubahan seperti ini banyak berlaku dalam bahasa kerana sebab-sebab perubahan dalam bahasa itu sendiri.

Selain itu, disebabkan kemajuan sains dan teknologi juga, banyak kata yang telah mengalami perubahan makna. Misalnya, kata taman, pada masa dahulu hanya digunakan untuk merujuk kepada ‘kebun bunga’, tetapi maknanya sekarang diperluaskan untuk mencakup makna tambahan seperti ‘ kawasan perumahan’, kawasan perindustrian’ dan ‘kawasan alam semula jadi seperti Taman Kinabalu’. Demikian juga kata datuk, kini bukan sahaja digunakan untuk merujuk bapa ayah atau ibu seseorang, malah sebagai gelaran kehormat oleh raja bagi orang - orang tertentu kerana jasa-jasa mereka.

Dalam arus perubahan zaman, banyak kata mengalami perubahan makna. Kata-kata yang merujuk kepada objek, institusi, idea, dan konsep-konsep saintifik merupakan antara kata yang mengalami perubahan makna. Misalnya, kata kebal berubah daripada makna asal kuat dan kukuh dalam bidang ketenteraan menjadi kereta kebal.

Bahasa juga berubah kerana sebab-sebab sosial. Peredaran masa menyebabkan munculnya bidang-bidang baharu dalam satu-satu budaya masyarakat bahasa. Faktor-faktor seperti emosi, tabu menjadi punca perubahan makna dalam bahasa. Misalnya, ungkapan orang gaji kini berubah menjadi pembantu rumah, budak pejabat bertukar menjadi pelayan pejabat, dan Hari Buruh menjadi Hari Pekerja. Perubahan-perubahan ini berlaku kerana ungkapan yang digunakan dahulu membawa konotasi negatif, dan dengan demikian perlu diubah menjadi lebih halus atau yang tidak membawa unsur negatif.

Selain itu, unsur larangan atau tabu juga menyebabkan perubahan perkataan. Umpamanya, tidak sopan kalau dikatakan ‘saya hendak kencing’ di khalayak ramai, tetapi ungkapan buang air atau ‘ saya hendak ke tandas’. Kini kata tandas pula membawa makna yang tidak begitu sopan, maka sudah ada ungkapan bilik air yang digunakan untuk tujuan yang sama, iaitu kencing atau buang air kecil. Ada juga ungkapan bilik selesa yang digunakan untuk merujuk kepada konsep tandas. Pilihan perkataan atau ungkapan seumpama ini, sebenarnya merujuk kepada gejala yang disebut segai eufemisme, yakni penggunaan bahasa secara halus dan sopan.

Dalam Bahasa Melayu, kata daging disempitkan makna untuk merujuk kepada ‘daging lembu’ sahaja tetapi bagi daging lain pula, disebut daging kambing, daging ayam, atau daging arnab. Sedangkan makna dalam kamus adalah ‘isi pada manusia atau binatang antara kulit dan tulang’ (Kamus Dewan, 1994).

Ada juga makna yang diperluaskan, seperti dalam kata tangan yang menjadi menangani, taman yang merujuk kepada kawasan perumahan atau kawasan perindustrian seperti yang dijelaskan di atas. Untuk menerangkan konsep-konsep baharu yang timbul akibat perkembangan sains dan teknologi, maka perluasan makna bagi beberapa banyak perkaaan diperlukan.

bIBLIOGRAFI

Arifin, S. M. (1999). Sari Tesis : Morfologi dalam Pembinaan Bahasa Melayu. Jurnal Dewan Bahasa , 474-477.

Harahap, D. (1994). Binaan Makna. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hassan, A. (2005). Linguistik Am . Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Hassan, A. (2006). Morfologi. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Kasih, M. S. (2004, Disember). Linguistik dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa. Dewan Bahasa , pp. 40-43.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn , Hashim Hj. Musa, Abdul Hamid Mahmood. (1993). Tatabahasa Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Norlidza Shamsuddin . (2008). Teks STPM Bahasa Malaysia. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

S.Nathesan. (2001). Semantik dalam Bahasa Melayu : Satu Pandangan Komprehensif. Dewan Bahasa , 21-28.

Seri Lanang Rohani, Abdullah Hassan, Zulkifli Osman, Razali Ayob. (2006). Sintaksis. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.

Shaari, M. R. (2003, Mei). Kata hubung Gabungan. Dewan Bahasa , pp. 52-53.


Nota Kaki : Rencana esei di atas adalah esaimen aku dan hak cipta aku dan ditulis dengan penuh tanggungjawab dan dikreditkan kepada mereka yang sepatutnya..jadi kalau nak cilok tolong kredit kepada aku dan penulis-penulis lain di atas tu..memang ada bahagian yang copy and paste tapi semuanya aku kreditkan seperti dalam biblio di atas...kepada budak2 pengajian Melayu lepas aku buat esaimen ni aku mula sedar pentingnya kita alert dengan majalah2 Dewan Bahasa, Jurnal Dewan Bahasa dan Pemikir...aku sebenarnya nak submit benda ni pagi ni...hehe..keje last minit memang memuaskan...

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

1 Response to "Linguistik : Satu Pemerhatian (tulisan pecah kepala !!)"

  1. ♥ Cik NaD ♥ says:
    September 27, 2009 at 4:34 PM

    im proud of u syg... conggrates...

Related Posts with Thumbnails
Daisypath Anniversary tickers