Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan,  melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara  penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut  kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa  terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam  perkara, iaitu :-
1)   Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak  langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci,  marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau  isteri juga melalui status facebook. Ada yang mendesak suami beli rumah,  kereta, pinggan, perabot, baju, dan macam-macam lagi melalui status  mereka. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari  rakan-rakan mereka.  Tertekanlah suami serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah  tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka  kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung.  Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan  pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian.  Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang  diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh  sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara  terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan  sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan  olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini  punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini  boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan.  Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti  Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor  Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri)  TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia  dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan,  tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara  tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya.  Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang  diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah  semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui  facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar  mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda.  Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana  yang perlu  jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang  wajar.
2)  Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin  sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian  terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan  gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi  ruang kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri).   Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan  suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar  sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin.  Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya  memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat  ‘lamaran' nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan  memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran  nafsu (seperti ajakan dating, kahwin - padahal wanita telah bersuami)  tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar,  si lelaki dan wanita  ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama,  sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika  kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi  Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu  menghampiri zina'.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar  isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang   sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sin ( 
http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=546&Itemid=99)
3)  Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya  mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang  kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si  lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita  tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula  menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh  dijumpai secara mudah tertebaran di internet, diletakkan sebagai  dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan  menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya  dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya  telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang  orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan  friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih  terhad dan terjaga.
4)  Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu  ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun  gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru,  sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang  menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat  perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan rupawan ini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar  mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan  sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan  suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda.  Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti,  terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin  menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana  boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda  dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat dosa.
5)  Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi  mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri  kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang  banyak juga dewasa ini. Isu ini juga telah pernah diulas oleh beberapa  penulis lain seperti Sdr Shahmuzir dan Ust Abu Umair.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan  kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu  disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh  semua friend punya rakan (friend).
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a-      Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu  tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran  gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
b-      Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga,  justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah  sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan  sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian  tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete  'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai  sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu  yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik  facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau  mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap  salah dan berDOSA di dalam Islam.
c-      Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu,  walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia  tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan  baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan  pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan  baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia  mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya  secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua  perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar  orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran  dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah,  berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau  sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan,  imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi  wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis,  adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu  macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan  menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra  caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rakan lama. Tuan  punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri  sama ada secara langsung atau tidak langsung.  Lahirlah kata-kata,  ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman  suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan  lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila  berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi  solehah, tidak suci dan sebagainya?. Demikian juga ayat-ayat lain di  atas.? Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu.  Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan  penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti  mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang  baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan  betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan  limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan  sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan  senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang  bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan  rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama'ukhuwah' untuk berbuat  dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada  Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah  al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di  kalangan mukmin.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net 
ORIGINAL ARTICLE : 
http://www.zaharuddin.net/content/view/930/72/
Credit to : Nurul Nadiah Nordin :)